Kembali ke pengaturan asal Kecilkan saiz fontSenderhanakan saiz fontBesarkan saiz font
PORTAL RASMI
KERAJAAN NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR

Program Inovasi

Berdasarkan kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, Inovasi membawa maksud sesuatu yang baru diperkenalkan yang meliputi kaedah, sistem, adat dan lain-lain.

Dalam ertikata lain ia menjurus kepada kaedah atau usaha mencari jalan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik sama ada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan.  Ia adalah hasil cetusan idea yang kreatif dan inovatif dalam mana-mana aspek kerja yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi dan kehidupan masyarakat.

Idea-idea tersebut boleh diperolehi dari dalam dan luar atau melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai idea baharu atau disesuaikan untuk digunapakai mengikut keperluan jabatan/agensi.  Idea-idea ini boleh merangkumi apa-apa perubahan dalam bentuk sistem dan prosedur, kaedah dan cara bekerja mahupun pengenalan teknologi. Inovasi yang dihasilkan hendaklah berupaya menambah nilai output semasa serta membawa transformasi atau perubahan kepada amalan sedia ada.  Secara prinsipnya, inovasi boleh dihasilkan dalam bentuk produk, perkhidmatan, proses dan teknologi.

Program pembudayaan inovasi di Negeri Pahang Darul Makmur telah bermula sejak tahun 2011 lagi apabila Yayasan Inovasi Malaysia telah mengadakan program Jejak Inovasi yang bermatlamat mencari cetusan idea dan produk daripada peringkat akar umbi dalam usaha mengetengahkan produk tersebut dapat dikongsi bersama dengan pihak luar.


CONTOH PRODUK INOVASI RAKYAT NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR


Gasing Plastik

Antara produk yang berjaya ditemui oleh pihak Yayasan Inovasi Malaysia dan telah berjaya dipasarkan adalah gasing plastik hasil ciptaan Pak Ngah Jais atau mana sebenarnya Mohd Jais bin Rozali yang berasal dari Kg. Sanggang, Temerloh.  Produk tersebut lahir setelah Pak Ngah Jais memikirkan kaedah terbaik dalam penghasilan gasing sedia ada yang diperbuat daripada kayu kepada gasing moden yang lebih praktikal.

Atas faktor tersebut, Pak Ngah Jais memperkenalkan gasing plastik yang merupakan satu bentuk inovasi kerana berjaya menghasilkan pembuatan gasing plastik bagi menggantikan gasing kayu yang semakin sukar diperolehi.  Dalam masa yang sama gasing plastik lebih selamat, lebih kukuh dan lebih ringan, sekaligus ianya memudahkan kepada golongan kanak-kanak untuk membawa ke mana-mana dan tidak mudah pecah berbanding gasing kayu.

Hasil ciptaannya telah melayakkan beliau terpilih sebagai pemenang "National Grassroots Innovator Award (Open Category) anjuran Yayasan Inovasi Malaysia ( YIM ) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang telah disampaikan semasa Majlis World Innovation Forum (WIF) Kuala Lumpur pada 3-7 November 2012.

Pejabat SUK Pahang melihat pembudayaan inovasi kepada rakyat Negeri Pahang perlu diadakan sebagai usaha untuk mendidik dan menyemai kesedaran dan kepentingan inovasi dan kreativiti sebagai salah satu tunjang pencapaian negara maju sepeti disasarkan dalam Wawasan 2020.

Sehubungan itu, Hari Inovasi Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur  telah diadakan pada 13 – 14 Oktober 2014 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.  Ianya merupakan julung kali diadakan di Negeri Pahang dan telah dirasmikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob manakala Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Muhammad Safian bin Ismail.

Hari Inovasi Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur telah berjaya menghimpunkan sebanyak 64 penyertaan yang dipecahkan kepada kategori akar umbi, kategori perkhidmatan, kategori produk dan kategori sekolah.  Daripada jumlah tersebut sebanyak 40 kategori disenarai pendek untuk dipertandingkan.

Pihak Kerajaan Negeri telah menyumbangkan hadiah kepada 10 tempat terbaik dan 1 geran pembangunan kepada produk yang mempunyai nilai tambah dan berupaya dipasarkan secara meluas.
 

Senarai 10 inovasi terbaik adalah seperti berikut :

  1.     Safety Ampule Cutter Kit (SAC KIT) - Hospital Jengka

  2.     Stiker Permit Meja - Majlis Daerah Bera

  3.     Transit Killer Rat -  Majlis Perbandaran Kuantan

  4.     Peralatan Membuka Coil Spring Shock Absorber - Majlis Perbandaran Kuantan

  5.     Papan Iklan Bersistematik - Majlis Daerah Bera

  6.     Smart Bag  - SK Sungai Gau, Temerloh

  7.     Sisi – Kur - Pejabat Daerah dan Tanah Pekan

  8.     VS Kool - Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang

  9.     Membina Semula Terowong Sg. Lembing - Majlis Perbandaran Kuantan

  10.     E-Lesen - Majlis Perbandaran Kuantan

Sekiranya anda mempunyai idea inovasi untuk diketengahkan, silalah kemukakan idea tersebut kepada :
 

Unit Korporat
Blok C Wisma Sri Pahang
Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang
25503 Kuantan


atau e-melkan ke alamat :

sukkorporat[at]pahang[dot]gov[dot]my



  •  
  • Print
  • Email this page

arrow

 

Topik Hangat