Hebahan: Kejayaan Unit Permodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Mewakili Malaysia Dalam Pertandingan Presidential Hackathon Taiwan Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

Adalah dimaklumkan bahawa, Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri telah menghantar seramai lapan (8) orang pegawai untuk dua (2) pasukan mewakili Malaysia di dalam Pertandingan Presidential Hackathon 2019 di Taiwan yang dianjurkan oleh Kerajaan Taiwan dengan kerjasama Open Contracting Partnership (OCP). Pertandingan tersebut telah diadakan pada 18 - 21 Julai 2019.

Untuk makluman tuan/puan jua, sebanyak 23 pasukan yang bertanding dari 15 buah negara dan enam (6) pasukan telah berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir yang mana dua (2) pasukan Malaysia iaitu Pasukan Mentadak dan Pasukan MAS Team  telah berjaya menjadi finalis. MAS Team yang terdiri daripada 3 wakil MAMPU iaitu Encik M Poobalan M Masilamani, Encik Mohd Khaizur Khairuddin dan Cik Nasharyati Nasir, seorang wakil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cik Sitee Harlinna Annes Sabda dan seorang wakil Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Encik Nazaruddin Sahar, telah menghasilkan aplikasi berasaskan data raya bagi mengenalpasti lokasi bersesuaian bagi pembinaan sekolah dan hospital baharu berdasarkan unjuran populasi dan kapasiti sekolah dan hospital sedia ada. Aplikasi ini membantu kerajaan utk membuat perancangan pembangunan sekolah dan hospital baharu dengan mengenalpasti pola dan unjuran demografi penduduk serta  ketersediaan infrastruktur semasa.

Manakala, pasukan Mentadak yang terdiri daripada 5 pegawai MAMPU pula telah menghasilkan inovasi berpacukan data yang bercirikan Artificial Intelligent bertajuk 'Cartelogy' bagi mengesan kewujudan penipuan tawaran dalam perolehan kerajaan. Cartelogy mengesan ketirisan perolehan melalui kajian terhadap pola dan hubungkait antara syarikat, tender dan pemilik syarikat seterusnya mengenalpasti risiko kewujudan penipuan tawaran dan ketirisan perolehan kerajaan semasa proses penilaian dan pembuatan keputusan oleh jawatankuasa yang dilantik. Pasukan Mentadak yang diwakili Encik Zulkfli Ahmad, Encik Saifuddin Mohd, Encik Muhamad Hafiz Hasan, Encik Mohd Helmi Rakhani dan Azman Mohd Farok daripada MAMPU telah dipilih sebagai pemenang Presidential Hackathon 2019 peringkat antarabangsa.

 



Diterbitkan pada 29 Julai, 2019 Diterbitkan Oleh Sufian