Kembali ke pengaturan asal Kecilkan saiz fontSenderhanakan saiz fontBesarkan saiz font
PORTAL RASMI
KERAJAAN NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR

Istiadat Pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Ke-VI

Pekan, 15 Januari – Istiadat Pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Ke-VI, Sultan Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah selamat disempurnakan di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan.

Pemasyhuran yang dijalankan dengan  penuh adat istiadat diraja diumumkan oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, yang membacakan Pengisytiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama).

Majlis dijalankan tepat jam 11 pagi disaksikan oleh tetamu jemputan yang terdiri daripada YAM. Kerabat-kerabat Bergelar, YAB. Menteri Besar Pahang, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan. Majlis Istiadat ini turut mendapat liputan secaa langsung yang disiarkan menerusi TV1.

“Maka adalah dengan ini dimasyhurkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa Jumaah Pangkuan Negeri kali ke-110 yang bermesyuarat pada 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah dan mengikut hukum syarak telah bersetuju memilih, melantik dan memasyhurkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Tengku Abdullah Alhaj DK SSAP, SIMP, DK Terengganu, DK Johor, Pemangku Raja Pahang, Waris Ganti menjadi Raja pemerintah yang menaiki takhta negeri Pahang dan segala jajahan takluknya bagi menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah, berkuatkuasa 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah.

“Maka yang demikian ketahuilah pada semua yang hadir seluruh rakyat Pahang dan semua orang supaya mengambil maklum dan menjunjung taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah,” katanya.

Setelah selesai YAM Tengku Muda Pahang membaca Pengisytiharan Pelantikan Raja, beliau mempersembahkan watikah Pemasyhuran Pelantikan Raja kepada Sultan Abdullah.

Orang Kaya Indera Pahlawan kemudiannya dititah menghadap sebelum menyembahkan Titah Ikrar kepada Sultan Abdullah yang sejurus kemudian menyempurnakan ikrar berkenaan.

Sultan Abdullah kemudiannya melafazkan sumpah sebagai Sultan dan Raja Pemerintah bagi negeri Pahang dan dan segala jajahan takluknya.

“Bahawa beta dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku dan taat setia bagi menjalankan dengan adil dan amanah pemerintahan bagi negeri Pahang dan segala jajahan takluknya mengikut sebagaimana undang-undang tubuh jajahan negeri Pahang yang telah dan yang akan disahkan serta dimasyhurkan dari semasa ke semasa,” titah baginda.

Sultan Abdullah berikrar dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negeri Pahang.

Setelah selesai Sultan Abdullah menyempurnakan Titah Ikrar, ungkapan takbir 'Allahuakhbar' dilaungkan tiga kali diikuti dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali.

Turut bersama-sama mengiringi baginda ialah YAM Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Cik Puan Muda Pahang, Julita Aishah Abdul Latiff dan Tengku Ariff Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua'dzam Shah.

Perarakan masuk ke dalam Balairung Seri dengan tujuh pembawa cogan kerajaan, pedang terhunus, pedang kerajaan dan keris kerajaan.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian bersemayam di atas singgahsana sebelum lagu ‘Allah Selamatkan Sultan’ dimainkan dan sejurus selepas lagu itu dimainkan, Timbalan Datuk Paduka Maharajalela menghadap memohon perkenan untuk memulakan istiadat pemasyhuran.

Tengku Muda Pahang mewakili Kerabat-kerabat Bergelar, Ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja, kerabat dan orang-orang besar Pahang membaca perutusan taat setia dan diikuti dengan persembahan ucapan sembah ikrar taat setia oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mewakili Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil rakyat, pegawai kerajaan, badan berkanun, dan keseluruhan rakyat negeri Pahang.

Kemuncak istiadat, Sultan Abdullah menyampaikan titah diraja sempena pemasyhuran baginda. Baginda merakamkan penghargaan kepada YAB. Menteri Besar Pahang dan YB. Setiausaha Kerajaan Negeri atas jasa dan khidmat bakti dalam melaksanakan amanah ke arah kemakmuran dan kesejahteraan negeri Pahang.

Sejurus itu, Mufti Negeri Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman membacakan doa dengan diiringi Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain dan Kadi Daerah Pekan, Ahmad Nizam Abdul Manan.

Selesai istiadat, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat meninggalkan Balairung Seri.- sumber BERNAMA

Diterbitkan pada 16 Januari, 2019 Diterbitkan Oleh Shamsinorwati
Topik Hangat