Penglibatan Usahawan Negeri Pahang Dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

KUALA LUMPUR, 7 April 2018 - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah menganjurkan edisi ke-15 Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang berlangsung di Pusat Pameran Dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 4 hingga 7 April 2018. Pameran ini dibuka dari pukul 10 pagi hingga 7 malam dan hanya terbuka kepada pengunjung berstatus pembeli atau peniaga.

Pameran Perdagangan Antarabangsa ini berjaya menarik penyertaan 778 pempamer mewakili 32 buah negara termasuk pembabitan Kemboja, Azerbaijan dan Uzbekistan untuk pertama kalinya. Pameran ini juga turut menerima kehadiran lebih 21,000 pengunjung merangkumi syarikat tempatan dan antarabangsa, pertubuhan dan delegasi asing serta pemeteraian sebanyak 33 Memorandum Persefahaman (MoU). MIHAS 2018 juga telah meraih jumlah jualan RM1.52 bilion, meningkat daripada RM1.01 bilion yang dicatat pada tahun lalu. Sebahagian besar jualan terbabit disumbangkan oleh dua komponen utama merangkumi pameran dan segmen padanan perniagaan iaitu Program Penyumberan Antarabangsa (INSP)

Sektor yang mencatat perkembangan memberangsangkan pada acara itu adalah makanan siap yang mencatat jualan sebanyak RM407.20 juta dan menyumbang 44.5 peratus daripada jualan keseluruhan. Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang juga penganjur acara ini ada menyatakan hasil jualan pameran mencatatkan peningkatan 29 peratus kepada RM914.57 juta berbanding RM708.82 juta pada 2017.

Kali ini, Kerajaan Negeri Pahang telah membawa seramai tujuh (7) usahawan Pahang yang telah mempunyai sijil halal dan produk masing-masing mempunyai kriteria sedia eksport. Senarai Usahawan Pahang yang telah mewakili Pavillion Negeri Pahang adalah Kerabat Makmur Event Services, Qaseh Alina Enterprise, Wahedah Maju Enterprise, Pesona Aroma Enterprise, Dodol Sejati Enterprise, Zati D Hati Resources dan Keropok Bawang Enterprise. Tujuan penyertaan Negeri Pahang kali ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan peluang kepada usahawan mempamer dan membuat jualan barangan masing-masing di peringkat antarabangsa untuk mengembangkan rangkaian perniagaan di dalam dan luar Negara.

Diterbitkan pada 4 Mei, 2018 Diterbitkan Oleh Shamsinorwati