Penyertaan Usahawan Pahang Di Program Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2018 Di Kompleks Kraf Kuala Lumpur Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

 

KUALA LUMPUR, 26 Mac 2018 - Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) iaitu agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia telah menganjurkan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2018 buat kali ke-16 pada 22 Mac hingga 1 April 2018 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Program ini bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan terbuka kepada semua pengunjung. Pada kali ini, Majlis Perasmian HKK 2018 telah disempurnakan oleh YABhg. Isteri Perdana Menteri Malaysia pada 26 Mac 2018.

Tujuan program ini adalah memberi pengiktirafan kepada pengusaha dan penggiat seni kraf yang sering memberi sumbangan dalam meningkatkan ekonomi negara. Selain itu, HKK juga telah mencapai tujuannya bagi menghimpunkan produk kraf dari seluruh negeri untuk pameran dan jualan. Pada kali ini, HKK 2018 dianggarkan telah melibatkan sekitar 500 usahawan kraf yang membuat pameran dan jualan pelbagai produk kraf terbaru. Selain itu HKK 2018 ini juga telah menyediakan Padanan Perniagaan dengan pembeli dalam dan luar negara yang mana memberi peluang kepada penggiat seni untuk ketengahkan lagi hasil kraf masing-masing.

Kali ini, Kerajaan Negeri Pahang telah membawa seramai 10 usahawan kraf dari pelbagai daerah untuk menyertai Hari Kraf Kebangsaan 2018. Senarai Usahawan Pahang yang telah mewakili Pavillion Negeri Pahang adalah Nd Batik, Legar Warisan, Seri Seni Kraf, Imiey Kraf, Z&Z Kayu Kraf, Embun Craft, Zon Niaga Enterprise, Batik Aq Enterprise, Tinies Craft Collection dan Kayuma Industry. HKK kali ini telah mempamerkan hasil kraf daripada koleksi aksesori, hiasan mahupun landskap rumah, mahupun cenderahati. Untuk peralatan rumah pula, terdapat 5 bidang kraf yang diperbuat daripada tekstil, hasil rimba, tanah, logam dan aneka kraf.

Diterbitkan pada 3 Mei, 2018 Diterbitkan Oleh Shamsinorwati