Kandungan Jurnal

mail mail

Kandungan Jurnal

SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI

Dewan Undangan Negeri Pahang bersidang sebanyak tiga kali setahun. Walaubagaimanapun jika terdapat perkara-perkara yang penting yang perlu disegerakan seperti pindaan kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang atau seumpamanya, maka persidangan dewan boleh diadakan pada bila-bila masa.

Dewan Undangan Negeri Pahang berfungsi dengan sempurna dan dengan penuh kemuliaan dengan adanya perkara-perkara berikut :-

  • Cokmar Dewan
    Cokmar merupakan lambang kebesaran sesebuah kerajaan yang mengamalkan demokrasi berparlimen, di samping merupakan satu lambang ketinggian dan kemuliaan Dewan  Negeri. Kedudukan Cokmar ini dibawa masuk ke dalam Dewan mendahului Yang DiPertua Dewan Undangan semasa persidangan diadakan. Semasa Persidangan dirasmikan, Cokmar juga akan dibawa masuk mendahului Yang DiPertua dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang atau wakil baginda. Cokmar diletakkan di atas tempat yang khas di dalam Dewan Perundangan. Motif yang terdapat di bahagian atas Cokmar Dewan Undangan Negeri Pahang yang diberikan nama Keris Pusaka Warisan. Cokmar yang ditempa daripada perak yang bermutu tinggi bertahtakan emas tempayan. Potongan ayat Al-Quran (Ayat 85, Surah Asy-Syura) yang terukir pada cokmar ini jelas menunjukkan betapa hasrat dan aspirasi dan diharapkan oleh Dewan ini kepada anggota-anggota yang dipilih oleh rakyat agar sentiasa mengingati, menyedari dan menghayati tentang kepentingan  bermuafakat dan bermusyuarah dalam usaha menyelesaikan sekiranya ada  sebarang masalah yang berupa pertentangan fikiran dan sengketa. Mesyuarah yang dijalankan pula itu hendaklah penuh beradab, diadakan dalam suasana hening dan bertatatertib.

     
  • Yang DiPertua Dewan
    Yang DiPertua Dewan adalah merupakan pentadbir yang mengendalikan dewan semasa bersidang. Disamping Jawatankuasa-jawatankuasa Dewan,Yang DiPertua Dewan juga menetapkan aturan mesyuarat dan semasa bersidang. Mengikut kelazimannya, perlantikan Yang DiPertua Dewan dibuat pada hari mula-mula Persidangan Dewan Pertama selepas sesuatu Pilihan Raya Umum diadakan. Perlantikan ini dibuat  mengikut Bahagian II, Bab IV, Perkara 27 - Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang
     
  • Menteri Besar
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang akan mengambil salah seorang daripada ahli Dewan Undangan Negeri yang telah memenangi sesuatu Pilihan Raya Umum sebagai Menteri Besar bagi mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan mengikut Bahagian II, Bab IV,Perkara 27 - Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang.
     
  • Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang
    Atas Nasihat Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang boleh melantik tidak lebih daripada sepuluh orang dan tidak kurang daripada empat orang ahli lain di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengikut Bahagian II, Bab I, Perkara 4 fasal (2) (a) dan (b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang. Ahli-ahli majlis mesyuarat akan mempengerusikan beberapa jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan yang ditetapkan.
     
  • Korum
    Korum bagi Dewan Undangan Negeri Pahang dan semua Jawatankuasa Dewan hendaklah mengandungi satu pertiga Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang yang tidak termasuk Pengerusi.
     
  • Jawatankuasa Dewan
    Dewan menubuhkan beberapa Jawatankuasa bermula setiap penggal persidangan. Jawatankuasa ini merupakan sebahagian dari kesempurnaan Dewan Undangan Negeri Pahang. Semua Jawatankuasa Dewan Undangan Negeri ini dipengerusikan oleh Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan kecuali Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri Pahang yang pengerusinya dilantik di kalangan Ahli Dewan berdasarkan kekanaan.

Jawatankuasa Dewan adalah seperti berikut :

  • Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri Pahang
  • Jawatankuasa Peraturan Tetap Dewan
  • Jawatankuasa Hak dan Kebebasan
  • Jawatankuasa Pilihan Khas
  • Penyata Rasmi Dewan
    Sebuah penerbitan yang berjudul Penyata Rasmi Dewan akan dikeluarkan setiap kali berakhirnya Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang. Buku ini mengandungi semua ucapan yang dilafazkan di dalam dewan dan dalam sesebuah Jawatankuasa Dewan. Penyata rasmi ini diedarkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang.

     
  • Setiausaha Dewan
    Seorang Pegawai bertanggungjawab bagi melaksanakan segala perkara pentadbiran dan pengurusan Dewan Undangan Negeri. Tanggungjawab ini termasuklah urusan Persidangan Dewan dan Mesyuarat Jawatankuasa Dewan. Setiausaha dipilih dari kalangan Pegawai Pengurusan Profesional atau Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang boleh bertukar ke mana-mana jabatan kerajaan pada bila-bila masa yang diperlukan. Pegawai yang memegang jawatan ini juga bertanggungjawab menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan Yang DiPertua, Ahli-ahli Dewan serta Kakitangan Pejabat Dewan. Beliaulah bertindak sebagai Setiausaha semasa mesyuarat. Peranan utama Setiausaha Dewan berjalan lancar dan teratur.

Beliau perlu melaksanakan :

  • Mengeluarkan notis memberitahu tarikh-tarikh Mesyuarat Dewan dan minit-minit Mesyuarat Jawatankuasa.Menyediakan buku Aturan Mesyuarat.
  • Menyediakan minit-minit perjalanan Mesyuarat Dewan dan minit-minit Mesyuarat Jawatankuasa Dewan serta mengedarkannya kepada Ahli-ahli Dewan.
  • Menyediakan undi-undi dan menguruskan perjalanan mesyuarat.
  • Menyimpan buku-buku minit dan perjalanan mesyuarat, Rang Undang-undang dan surat-surat lain yang telah dibentangkan dalam mesyuarat.
  • Menyediakan Buku Penyata Rasmi Dewan.

Bentara Mesyuarat

Bentara Mesyuarat adalah penjaga cokmar. Cokmar ini adalah waran kepada Bentara Mesyuarat untuk menjalankan tugas beliau di bawah arahan Yang DiPertua Dewan. Beliau bertanggungjawab atas keselamatan dalam Dewan Perundangan.

Pelapor Perbahasan Dewan

Seorang Pelapor Perbahasan bertanggungjawab dalam menguruskan dan membantu Setiausaha Dewan bagi segala pentadbiran dan pengurusan Dewan Undangan Negeri.  Pelapor Perbahasan Dewan dipilih di kalangan 
Setiausaha Pejabat / Pembantu Setiausaha Pejabat  yang boleh bertukar ke mana-mana jabatan kerajaan pada bila-bila masa yang diperlukan.  Bertindak sebagai Pelapor semasa Mesyuarat Dewan dan bertindak sebagai Setiausaha Kerja bagi Mesyuarat-Mesyuarat Jawatankuasa Dewan.