Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan..Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu pemimpin Islam dan parti politik bersatu serta duduk semeja berbincang mengenai perpaduan sekali gus boleh menyejukkan hati orang Melayu.
Baginda berharap, hasrat itu dapat direalisasikan sempena tema Maulidur Rasul tahun ini iaitu Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.
“Mungkin ada rahmat besar menanti kita, tidak kira parti mana, tidak kira namanya Mohamad atau Abdullah, namanya Adnan, namanya Najib, Nik Aziz atau Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim dapat duduk semeja, saya rasa amat bersyukur."
“Saya harap pemimpin berkenaan dapat fikirkan saranan ini supaya perkara yang tidak dapat disatukan dapat difahamkan Kita merdeka sejak 55 tahun dan alangkah satu rahmat jika kita dapat lihat perpaduan ini,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang 1443 H/2012 M di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada 5 Februari 2012 ( Ahad ).
Titah Baginda, tidak perlu tuduh mana-mana pihak kerana yang penting pemimpin parti ini dapat bersalaman di antara mereka.
“Hairannya kita sudah berpecah belah dari dua terbelah tiga, dari tiga terbelah empat tapi
saya percaya orang Melayu akan lebih dihormati jika umat Islam bersatu,” titahnya.
Baginda turut menyeru supaya tidak menjadikan agama sebagai sempadan perpaduan kerana kehidupan masyarakat di negara ini membabitkan pelbagai kaum.
“Kalau orang Islam berjaya buat, saya percaya, orang lain akan pandang agama kita tulen dan suci,” titahnya.
Sebelum itu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri DiRaja Adnan bin Yaakob dalam ucapannya meluahkan rasa gusarnya kerana perpecahan semakin berlaku walaupun pelbagai majlis keagamaan dilaksanakan.
“Perpecahan kini semakin nyata, masyarakat berpecah dua, berpecah tiga dan berpecah empat,” katanya.
Justeru beliau menyeru supaya tema Maulidur Rasul tahun ini dihayati penuh perasaan dan meminta supaya cara melahirkan rasa cinta serta kasih kepada Rasulullah SAW bukan sekadar melalui kata-kata tetapi juga menterjemahkan melalui amalan-amalan yang baik dengan meneladani corak hidup Baginda Rasullullah s.a.w sebagai contoh dan ikutan bagi setiap aspek kehidupan.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Hakcipta © Terpelihara 2013 Kerajaan Negeri Pahang
Portal Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1152 x 864 dan ke atas.
Penafian: Kerajaan Negeri Pahang tidak bertanggungjawab terhadap kehilangan/ kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam web ini.
Diselenggara oleh: Bahagian Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang