LAHAD DATU 20 Mac 2013 - Lapan lelaki suspek pengganas dari selatan Filipina hari ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, di sini atas tuduhan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Kesemua lelaki itu yang berumur lingkungan 17 hinggga 66 tahun, didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana melancarkan keganasan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup, dan Seksyen 121 kanun yang sama kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amelati Parnell, yang bersidang sebagai Majistret.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Datuk Nordin Hassan dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, kedua-duanya dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.
Mohd Dusuki memberitahu pemberita, kes itu diperintahkan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau.
Katanya, kesemua mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Turut hadir Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Kawasan sekitar ibu pejabat polis tersebut dikawal ketat oleh anggota keselamatan bersenjata. - Bernama
20 Mac 2013 - PERSEKUTUAN Bola Sepak Asean (AFF) memilih Pahang sebagai tuan rumah pertama bagi menganjurkan Anugerah AFF buat julung kalinya pada 3 April depan sebagai penghargaan kepada individu dan pasukan yang memberi sumbangan cemerlang dalam sukan bola sepak di rantau ini.
Presiden AFF Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bertitah, pada majlis itu, sebanyak 18 anugerah akan disampaikan kepada mereka yang mempamerkan pencapaian cemerlang.
“Penilaian teliti (calon) akan dibuat sebelum pemenang dipilih. Ia proses yang sukar kerana calon banyak menyumbang terhadap sukan ini,” titah baginda.
Antara anugerah dipertandingkan Pengadil Terbaik AFF (lelaki dan wanita), Persatuan Terbaik AFF, Pemain Terbaik AFF (lelaki dan wanita), Pasukan Terbaik AFF, Jurulatih Terbaik AFF (lelaki dan wanita) dan Pasukan Futsal Terbaik AFF.
Kategori lain adalah Perkhidmatan Sepanjang Hayat AFF, Anugerah Sumbangsih AFF, XI Terbaik AFF, Gol Terbaik Piala AFF Suzuki 2012, Penolong Pengadil Terbaik AFF (lelaki dan wanita), Pemain Muda Terbaik AFF, Pemain Futsal Terbaik AFF dan Pasukan Kebangsaan Terbaik AFF (lelaki dan wanita). - Sinar
LAHAD DATU 17 Mac 2013 - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin rakyat tetap terhutang budi kepada pasukan keselamatan meskipun dimanipulasi pembangkang kononnya krisis pencerobohan pengganas di sini adalah satu sandiwara.
Beliau berkata rakyat tidak termakan propaganda pembangkang untuk memperkecil pasukan keselamatan kerana hakikinya, sudah sembilan nyawa terkorban, dan seorang anggota tentera maut dalam kemalangan ketika menyertai konvoi Operasi Daulat.
"Saya yakin rakyat terhutang budi dan yakin dengan semangat pasukan keselamatan kita. Ini sikap rakyat Malaysia apabila menghadapi keadaan ini, dan akan bersatu dalam mempertahan negara.
"Walau ada parti politik cuba pecahkan, tetapi rakyat terus sokong pasukan keselamatan," katanya ketika berucap di Dewan Semai Bakti, Desa Kencana, Felda Sahabat hari ini.
Dr Mahathir turut beramah mesra dan bertanya khabar dengan 200 anggota pasukan keselamatan di dewan berkenaan.
Beliau juga berharap semua rakyat, terutama di Sabah, memberi penghargaan tinggi kepada pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus mempertahan kedaulatan negara daripada ancaman luar.
Masyarakat Sulu di Sabah juga turut menolak tindakan pengganas itu, walaupun mereka adalah sebangsa, katanya.
Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata Malaysia harus mempertingkat kekuatan pertahanan negara tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak.
Beliau juga yakin pentadbiran di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berusaha mempertingkat pertahanan negara mengikut kesesuaian muka bumi Sabah, dan tidak akan membenarkan serangan pengganas berlaku lagi pada masa depan.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang berkorban nyawa mempertahankan negara," katanya. - Bernama
LAHAD DATU 17 Mac 2013 - Faizal Julbakri dan keluarganya tersenyum gembira ketika pertama kali menikmati ayam goreng sumbangan KFC Holding, yang diberikan kepada mangsa pencerobohan militan bersenjata dari selatan Filipina di pusat penempatan sementara di sini.
Meskipun sudah 15 tahun berhijrah ke negara ini dan bekerja di ladang kelapa sawit di Sungai Merah dengan upah RM25 sehari, Faizal tidak mampu untuk membeli makanan segera itu kerana untuk menikmatinya dia perlu ke bandar Lahad Datu sejauh 130 kilometer.
"Saya hanya dapat merasai semua ini ketika berlindung di Dewan Serbaguna Cenderawasih dengan segala kemudahan yang di luar jangka disediakan untuk saya, isteri dan anak. Kalau sebelum ini kami perlu bayar RM15 untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan tetapi di sini semuanya percuma.
"Ini adalah 'rumah' yang paling selesa dan selamat untuk keluarga saya," kata lelaki berusia 34 tahun dari Pulau Tawi-Tawi, selatan Filipina ketika ditemui Bernama di sini.
Berkahwin dengan Wazni Abdul Fatah, penduduk tempatan, Faizal bersyukur kerana turut menikmati segala bantuan yang disediakan kerajaan tanpa berasa dipinggirkan.
"Siapa kata saya tidak dibantu oleh kerajaan...seperti orang lain, apa yang mereka dapat saya juga dapat. Jangan buat fitnah mengatakan saya tidak dibantu. Saya selesa di sini dan terima kasih kerajaan Malaysia," katanya dengan tegas.
Faizal adalah seorang daripada 1,430 mangsa pencerobohan yang dipindahkan ke empat pusat penempatan sementara – Cenderawasih, Embara Budi, Gemala Pura dan Fajar Harapan - dengan 60 peratus mangsa adalah bukan warganegara.
Dalam insiden pencerobohan ini, sembilan anggota pasukan keselamatan terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan militan. Seorang askar lagi maut akibat kemalangan jalan raya ketika konvoi menghantar bekalan makanan kepada pasukan keselamatan dalam Operasi Daulat.
Pelbagai bantuan diberi kerajaan merangkumi segenap aspek daripada makanan, tempat tinggal, pakaian sehingga lampin pakai buang dan susu bayi tanpa mengira latar belakang mangsa pencerobohan.
"Saya menerima tilam, bantal, makanan sebanyak tiga kali sehari, pakaian, susu bayi dan juga diapers. Saya kira kebajikan kami semua dijaga dengan baik oleh kerajaan dan tiada langsung diskriminasi," katanya yang telah lebih 12 hari tinggal di pusat penempatan itu sejak insiden pencerobohan berlaku.
Kenyataan Faizal itu jelas mengambarkan betapa prihatinnya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaras dengan gagasan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
Sependapat dengan Faizal, Datu Jaafar Yusof, 38, juga menyifatkan kerajaan amat prihatin terhadap untung nasib rakyatnya tanpa mengira latar belakang.
"Saya amat berpuas hati dengan apa yang kerajaan sediakan termasuk makan minum, tilam, bantal, pakaian susu bayi dan diapers. Saya tidak rasa kerajaan menzalimi kami semua bahkan kami semua menikmati kemudahan lain seperti rawatan kesihatan tanpa sebarang bayaran," katanya.
Komander Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kol Abd Wahab Rahim berkata kerajaan memperuntukkan kira-kira RM10,000 sehari untuk persiapan makanan dan keperluan asas lain bagi keselesaan mangsa.
JPAM, yang ditugaskan memantau keperluan di setiap pusat penempatan sementara, katanya tidak pernah mendiskriminasi mana-mana mangsa dan bantuan yang diberikan adalah sama rata.
"Saya adalah pegawai yang berada di lapangan dan kita dalam mood operasi kemanusiaan. Dalam pusat penempatan ini ada dua kategori iaitu warganegara dan bukan warganegara tapi layanan kita adalah sama. Ini selaras dengan Konvensyen Geneva dan kita tahu protokol dalam Konvensyen Geneva. Ini soal kemanusiaan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa semua bantuan yang diterima mangsa seperti tilam, bantal, selimut, pakaian dan lain-lain boleh dibawa pulang oleh mangsa apabila krisis pencerobohan selesai.
Tinjauan Bernama di pusat penempatan sementara itu mendapati sebuah televisyen 41 inci bersekali dengan perkhidmatan televisyen satelit Astro disediakan untuk tontonan penghuni.
Penolong Pegawai Perubatan Rudy Jawi berkata pemeriksaan rawatan percuma dijalankan kepada mangsa warganegara dan bukan warganegara di setiap pusat penempatan sementara.
Atas nama kemanusiaan, beliau berkata pihaknya merawat dan memeriksa 130 mangsa pencerobohan dalam sehari tanpa membezakan latar belakang kerakyatan mangsa.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab menyelar tuduhan liar media Filipina kononnya rakyat mereka di pusat penempatan sementara dilayan dengan teruk sedangkan mereka menerima pelbagai bantuan kemanusiaan seperti yang dinikmati rakyat negara ini.
Beliau berkata bantuan bukan sahaja diberikan kepada mereka yang ditempatkan di dewan serbaguna, sebaliknya turut diberi kepada mangsa yang berlindung di rumah saudara mereka dan MKN juga memberi bekalan makanan kepada mereka yang tinggal jauh dari pusat penempatan.
Pengurus Felda Wilayah Sabah Juany Salleh berkata Felda turut menghulurkan bantuan dalam aspek logistik dan bahan mentah kepada pasukan keselamatan dan mangsa pencerobohan.
"Untuk mangsa pencerobohan, kami memberi kebenaran untuk mereka ditempatkan di empat dewan serbaguna milik Felda secara percuma iaitu Embara Budi, Fajar Harapan, Gemala Pura, Cenderawasih," katanya.
Gugusan Felda Sahabat mempunyai keluasan 106,026 hektar, hampir seluas Negeri Sembilan dengan penduduk hampir 40,000 orang termasuk peneroka, pekerja ladang, penjawat awam dan para peniaga.
Felda Sahabat merupakan kawasan tanaman kelapa sawit milik Felda yang terbesar di Sabah dan menyumbang 10 peratus kepada hasil kerajaan Negeri di Bawah Bayu. - Bernama
SKUAD kebangsaan terus dirundum malang dalam pentas perlawanan antarabangsa apabila tewas buat kali ketiga - kali ini kecundang 1-4 kepada Arab Saudi dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Mac 2013.
Sebelum ini, Malaysia tewas 0-3 kepada Iraq dan tunduk 0-2 kepada Qatar.
Kekalahan ini membuatkan harapan Harimau Malaya dalam perlawanan kedua Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen minggu depan nyata membimbangkan.
Dalam perlawanan itu, pasukan pelawat tidak menunggu lama apabila Yousef Alsalem mudah menewaskan penjaga gol Malaysia, Mohd Khairul Fahmi Che Mat untuk gol pertama pada minit ketujuh.
Susulan gol awal Arab Saudi, Malaysia melakukan percubaan menerusi Amri Yahya. Sepakan Amri melencong ke kiri tiang gol.
Kealpaan barisan pertahanan Malaysia sekali lagi dihukum apabila Arab Saudi mudah memperoleh gol kedua menerusi Yahya Alshehri pada minit ke-30.
Ekoran dua gol itu, Datuk K.Rajagobal melakukan pertukaran pemain dengan memasukan Zubir Azmi menggantikan Asraruddin.
Selepas itu, Harimau Malaya mempunyai peluang untuk merapatkan jurang apabila sepakan percuma Piya minit 45 hampir-hampir menjaringkan gol, begitu pun percubaan itu tinggi melepasi dari tiang.
Bermula babak kedua, barisan Malaysia mula menemui rentak apabila rembatan kencang Ashari Samsudin hampir membolosi gawang namun tendangan itu hanya melambung tinggi.
Penantian Malaysia mencari gol pertama akhirnya terlerai apabila Safiq Rahim melepaskan tendangan deras menewaskan penjaga gol Arab Saudi, Waled Abdullah menerusi hantaran lintang Abdul Manaf Mamat pada minit ke-70.
Jaringan pertama Malaysia nyata menyuntik pemain Harimau Malaya untuk mencari gol kedua, tetapi pertahanan utuh oleh barisan pemain Arab Saudi menghalang anak bimbingan Rajagobal terus membolosi gawang pelawat.
Sisa-sisa kebangkitan Harimau Malaya terus berakhir apabila Naif Hazazi meledak gol ketiga pelawat hasil hantaran Hussien Almegahwi pada minit ke-84 sebelum Hamdan Alhamdan menutup perlawanan dengan menjaringkan gol keempat pada minit ke-93. - Sinar
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Hakcipta © Terpelihara 2013 Kerajaan Negeri Pahang
Portal Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1152 x 864 dan ke atas.
Penafian: Kerajaan Negeri Pahang tidak bertanggungjawab terhadap kehilangan/ kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam web ini.
Diselenggara oleh: Bahagian Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang