« Kembali

Sambutan Hari Kemerdekaan Tahun 2017 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur

Kuantan, 31 Ogos – Sambutan Hari Kemerdekaan Tahun 2017 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur telah diadakan di Padang MPK 1. KDYMM Pemangku Raja Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang telah berkenan bercemar duli berangkat ke majlis ini. Yang turut hadir ialah YAB. Menteri Besar Pahang, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan persekutuan dan ribuan orang ramai yang berada di lokasi sejak daripada awal pagi lagi.  

Majlis dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan kawalan kehormatan utama yang  disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang. Seterusnya lintas hormat 2 buah helikopter daripada Pangkalan TUDM Kuantan yang membawa Jalur Gemilang dan bendera Negeri Pahang. Pertunjukan diudara diteruskan dengan aksi pasukan terjun bebas TUDM yang membawa  bendera Jalur Gemilang, bendera Negeri Pahang dan bendera sambutan Hari Kebangsaan.

Majlis diteruskan dengan acara persembahan padang yang mengandungi elemen bacaan pengisytiharan kemerdekaan, acara menaikkan bendera Malaysia, nyanyian lagu-lagu patriotik oleh pasukan koir daripada pelbagai Jabatan kerajaan di Negeri Pahang, persembahan pembukaan gendang dan tarian tradisional daripada pelbagai kaum di Malaysia dan pertunjukan tempur tanpa senjata dan tempur bersenjata oleh pasukan ATM. 

Acara kemuncak sambutan Hari Kebangsaan adalah perarakan kontinjen berjalan kaki dan perarakan kenderaan daripada pelbagai jabatan negeri dan persekutuan. Dalam segmen perarakan kontinjen berjalan kaki, pasukan dari pejabat SUK Pahang telah berjaya menggondol tempat pertama bagi segmen 3 jabatan kerajaan. 

Syabas dan tahniah diucapkan kepada para peserta yang mengambil bahagian dan menyerikan majlis sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2017.