« Kembali

Majlis Perjumpaan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang Bersama Semua Ketua Jabatan Daerah Raub, Anggota Pejabat Daerah dan Tanah Raub Serta Majlis Daerah Raub

Raub, 3 Januari 2017 - Majlis Perjumpaan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang Bersama Semua Ketua Jabatan Daerah Raub, Anggota Pejabat Daerah dan Tanah Raub serta Majlis Daerah Raub telah diadakan di Dewan Jubli Perak, Majlis Daerah Raub. Majlis tersebut diadakan bagi memperkenalkan Pegawai Daerah Raub yang baharu iaitu YH. Dato' Hamadan@Hamdan bin Hussin berkuatkuasa 1 Januari 2017 bagi menggantikan YH. Dato' Haji Khairulannuar bin Mahmood yang bertukar ke Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang. 

YH. Dato' Hamdan mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) daripada Universiti Teknologi Malaysia, Johor. Memulakan karier dalam perkhidmatan awam pada tahun 1996 selaku Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Selanjutnya pada tahun 1997 beliau telah memulakan perkhidmatan di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang di pelbagai jabatan, antaranya ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Pahang, Bahagian Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Pejabat YAB. Menteri Besar selaku Setiausaha Sulit Kepada YAB Menteri Besar Pahang pada 15 Ogos 2011.

Pada majlis tersebut, YB. Dato' Sri turut memberi pesanan kepada Dato' Hamdan agar sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pihak dan mempermudahkan urusan rakyat. Ini selaras dengan hasrat pihak kerajaan yang mahukan setiap Ketua Jabatan berperanan sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan permasalahan rakyat. Di samping itu, keperluan untuk mengekalkan hubungan yang baik dan harmoni antara semua pihak dan memberi penekanan kepada tatalaku penjawat awam bagi mengelakkan berlaku salah tanggapan di kalangan rakyat. Isu-isu semasa di daerah Raub perlulah ditangani dengan segera dan efektif. Dalam masa yang sama pendekatan turun padang dengan lain-lain Ketua Jabatan peringkat daerah perlulah diadakan bagi mendapatkan gambaran sebenar sesuatu isu supaya pendekatan penyelesaian masalah dapat diuruskan dengan berkesan. Peluang kepada golongan bumiputera untuk berniaga perlulah disediakan dengan segera di samping isu harga rumah di daerah Raub yang sangat tinggi adalah antara perkara yang perlu diperhalusi dengan segera, ujar beliau. 

Sejurus selepas ucapan tersebut, Dato' Hamdan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Pahang atas pelantikannya sebagai Pegawai Daerah Raub. Kepercayaan tersebut akan dikotakan dengan memastikan pembangunan daerah Raub terus berkembang pesat dan mutu penyampaian perkhidmatan di PDT Raub dan Majlis Daerah Raub dapat dipertingkatkan. Beliau juga turut menyarankan komitmen dan kerjasama berpasukan daripada pegawai dan kakitangan daripada agensi setempat bagi menjamin agenda pembangunan daerah Raub dapat diteruskan sehingga berjaya. 

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, pegawai Pejabat SUK dan pegawai dan kakitangan dan Pejabat Daerah dan Tanah Raub dan Pengerusi JKKK Daerah Raub.