« Kembali

Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia 2017

Temerloh, 20 April - Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang wujud sejak 36 tahun lalu merupakan institusi unggul yang boleh dibanggakan rakyat, ujar YAB. Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak semasa Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 di Dewan Tun Razak, Temerloh. Beliau turut berkata, PNB merupakan contoh instrumen yang berjaya mencapai matlamat pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang telah dirangka oleh pemimpin terdahulu. Pelaksanaan DEB yang bermatlamat bagi mengimbangi kekayaan negara sama ada di kota mahupun di desa berjaya dilakar menerusi kejayaan pengagihan bonus atau dividen bahkan juga menerusi pembangunan prasarana dan limpahan ekonomi di bandar serta luar bandar.

Justeru itu, penubuhan PNB adalah inisiatif kerajaan yang bermatlamatkan untuk menebus maruah negara termasuk membeli syarikat yang sebelum ini milik orang asing tetapi kini milik rakyat Malaysia. Kejayaan ini sekali gus membuka minda bahawa kita memang boleh lakukan pembaharuan dan penstrukturan semula ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.   YAB. Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas berkaitan strategi peristiwa ‘Dawn Raid' yang telah dilakukan untuk membawa balik Guthrie ke Malaysia dan berjaya menjadikan badan-badan korporat milik orang asing kini menjadi milik rakyat Malaysia.

Beliau turut berkata, pada masa kini PNB menguruskan lebih 216 bilion saham dalam edaran milik lebih 13 juta pemegang akaun. Dalam masa yang sama PNB menerusi syarikat kumpulannya, Sime Darby Berhad juga berjaya membuktikan pencapaian dalam sektor perladangan dengan memiliki 280,000 hektar ladang di Indonesia, 220,000 hektar di Liberia dan 350,000 hektar di Malaysia.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; YAB. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad. MSAM 2017 yang bertemakan Pelaburan 360 selama enam hari yang berakhir pada hari Selasa ini dijangka menarik kehadiran lebih 150,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan bermatlamat memperkasa ilmu masyarakat mengenai pelaburan dan perancangan kewangan yang sistematik.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan PNB sebanyak RM700,000 bagi menaik taraf Pusat Hemodialisis Mentakab dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Sha'ri Ngadiman.