« Kembali

Majlis Penutup Minggu Saham Amanah Malaysia 2017

Temerloh, 25 April – Majlis Penutup MSAM 2017 telah disempurnakan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Tun Razak, Temerloh. Turut hadir ialah YAB. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan pemimpin kerajaan negeri serta setempat.

Dalam ucapan penutup, beliau berkata usaha yang dijalankan oleh PNB berjaya mewujudkan tabiat menabung dalam kalangan masyarakat negara ini. Budaya menabung perlu diterapkan sejak daripada zaman kanak-kanak lagi bagi membentuk kesedaran betapa pentingnya amalan berjimat cermat di kalangan kanak-kanak di samping ianya akan memberi pulangan yang baik di masa hadapan. Budaya menabung ini seharusnya tidak dilakukan secara ‘paksa' menerusi kaedah potongan gaji sebaliknya kesedaran untuk menyimpan secara sukarela perlu ada di dalam setiap individu. Kajian pada masa kini turut mendapati  budaya menyimpan wang di kalangan masyarakat Malaysia berada pada tahap 38 peratus sahaja berbanding 40 peratus tahap menyimpan wang di kalangan negara maju.

Menurut beliau, pelaksanaan budaya kerja berintegriti yang tinggi dalam tadbir urus PNB sejak ditubuhkan banyak membantu kejayaan dicapainya ketika ini.  Sejak ditubuhkan pada tahun 1979, PNB secara berterusan berjaya memberi manfaat kepada orang ramai melalui pengagihan dividen hasil pelaburan dibuat mereka. Sehingga kini, dapat disaksikan tahap pencapaian PNB yang memperlihatkan kejayaan yang sangat membanggakan dengan nilai modal berjumlah RM200 juta (1979), kini PNB sudah memiliki aset serta pelbagai pelaburan strategik lain yang bernilai RM266 bilion.

Penganjuran MSAM 2017 menampilkan pelbagai aktiviti berinformasi kepada pengunjung dengan aktiviti pendidikan pelaburan dengan matlamat bagi memperkasakan pengetahuan masyarakat tentang pelaburan dan perancangan kewangan.

MSAM 2017 yang telah diadakan selama enam hari di Dataran Temerloh, Temerloh bermula dari 20 April dan berakhir pada hari ini telah berjaya menarik kehadiran pengunjung yang dianggarkan seramai 200,000 orang. Jumlah ini melebihi daripada sasaran PNB iaitu seramai 150,000 orang sahaja dan juga mengatasi jumlah kehadiran pengunjung semasa MSAM 2016 iaitu yang diadakan di Tapah, Perak.