« Kembali

Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50)

MAJLIS DIALOG TRANSFORMASI NASIONAL 2050 (TN50)
YBHG. KETUA SETIAUSAHA NEGARA BERSAMA-SAMA PENJAWAT AWAM
NEGERI PAHANG

 

Kuantan, 17 Ogos 2017 –  Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali bin Hamsa bersama-sama Penjawat Awam Negeri Pahang yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. Dianggarkan lebih daripada 2000 penjawat awam yang terdiri daripada pelbagai jabatan negeri dan persekutuan di negeri Pahang telah menghadiri majlis tersebut.

Transformasi Nasional 2050 atau TN50 adalah satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050. Dari sebuah negara maju, sasaran  untuk menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi.

Majlis TN50 ini merupakan yang ketiga diadakan melibatkan penjawat awam di Malaysia, terdahulu majlis yang serupa telah diadakan di Kota Kinabalu, Sabah dan di Kuching, Sarawak.

Majlis tersebut dimulakan dengan sesi interaktif penjawat awam yang diketuai oleh YH. Dato' Indera Haji Zulkifli bin Yaacob ,Pegawai Kemajuan Negeri Pahang. Sesi ini lebih kepada memperkenalkan kepada penjawat awam berkaitan tujuan dan keperluan pihak kerajaan mendapat informasi arah tuju dan ekspatasi yang diinginkan berlaku pada tahun 2050.  

Dalam majlis tersebut, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Muhammad Safian b. Ismail telah menjadi moderator yang bertindak dalam mendapatkan pandangan dan aspirasi daripada penjawat awam terhadap TN50. Setiap aspirasi yang dikemukakan telah diulas dengan baik oleh YBhg. Ketua Setiausaha Negara. Rata-rata penjawat awam menyuarakan pandangan yang bernas ke arah pembentukan sebuah negara maju yang mengungguli dalam aspek ekonomi, inovasi dan kesejahteraan rakyat.

Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan. Apa yang menarik dalam majlis ini aspek protokol diberikan kelonggaran iaitu ketua-ketua jabatan diberi ruang kedudukan bersama-sama dengan penjawat awam di samping penggunaan pentas bulat di tengah dewan bagi mendekatkan tetamu kehormat dengan penjawat awam semasa sesi dialog berlangsung.

Penjawat awam yang hadir juga melahirkan rasa teruja dan berterima kasih atas penganjuran majlis yang dapat mendekatkan diri di antara pihak pengurusan tertinggi dengan pelbagai lapisan penjawat awam di negeri Pahang.