« Kembali

Kejohanan Karnival Bakat Pelapis Negeri Siri 2/2017

KUANTAN, 26 November – Karnival Bakat Pelapis siri 2/2017 telah melabuhkan tirainya pada tahun 2017 di mana penganjurannya kali ini dilaksanakan oleh Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Pahang (USPTN) dengan kerjasama Majlis Sukan Pahang dan persatuan sukan negeri selaku tuan rumah. Karnival ini merupakan siri terakhir kejohanan peringkat bakat tahun 2017.

Penganjuran kali ini disertai seramai 1,713 orang atlet dan pegawai yang terdiri daripada 14 buah kontinjen negeri dari seluruh negara dengan melibatkan 9 jenis sukan. Pertandingan telah dilangsungkan di venue-venue terpilih  iaitu tinju (Astaka Tinju Majlis Sukan Pahang) , menembak (Kompleks Lapang Sasar Menembak Majlis Sukan Pahang), memanah (SK Sungai Talam), akuatik terjun (Kompleks Akuatik MPK Wisma Belia), sepak takraw (Dewan SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad), gimrama (Kompleks Gimnasium Majlis Sukan Pahang), gimnastik (Sekolah Sukan Malaysia, Gambang), olahraga (Sekolah Sukan Malaysia, Gambang), dan juga angkat berat (Dewan Kompleks Belia dan Sukan ).

Sebanyak 412 pingat yang dipertandingkan pada siri kejohanan kali ini dengan menyaksikan kontinjen Wilayah Persekutuan mengungguli carta teratas dengan mengutip sebanyak 28 Emas, 14 Perak, dan 26 Gangsa. Manakala kontinjen Selangor dan Johor di tempat kedua dan ketiga. Kontinjen negeri Pahang sekadar di tempat keenam dengan 6 emas, 8 perak, dan 13 gangsa menerusi acara angkat berat dengan 3 emas, memanah 2 emas, manakala gimnastik 1 emas.

Objektif kejohanan ini dilangsungkan adalah sebagai medan pendedahan atlet-atlet pembangunan yang berumur 11-15 tahun. Disamping itu juga atlet-atlet dapat merasai pendedahan pertandingan sebagai persediaan ke kejohanan yang lebih tinggi.