« Kembali

Karnival Kerjaya Alliance Steel Sdn Bhd 2017

KUANTAN, 12 OGOS 2017 – Karnival Kerjaya 2017 telah dianjurkan oleh Alliance Steel (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada 12 hingga 13 Ogos 2017 bertempat di Hotel Zenith, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di Kuantan menawarkan sebanyak 4,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang untuk rakyat tempatan.

Alliance Steel merupakan salah satu pelabur terawal dan pelabur tunggal terbesar di Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP), menerusi pelaburan komited berjumlah RM5.6 bilion untuk membangunkan sebuah kilang besi dan keluli bersepadu serba moden. Peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh Alliance Steel merangkumi jawatan-jawatan peringkat permulaan dan jawatan-jawatan kanan, yang terdiri daripada jawatan teknikal, kejuruteraan, dan penyeliaan, serta jawatan pengurusan untuk menyokong operasi Alliance Steel di MCKIP. Selain daripada faedah-faedah menarik, para pekerja turut berpeluang untuk mendapatkan manfaat daripada pelbagai latihan insensif yang disediakan di dalam negara dan di kilang utama Alliance Steel di China.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, YB Dato' Norol Azali Sulaiman pada 12 Ogos 2017. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John, dan Timbalan Ketua Projek Alliance Steel, Hu Jiu Lin. Dianggarkan lebih 8000 orang hadir ke Karnival Kerjaya tersebut selama dua hari program berlangsung. Calon-calon ditemuduga di lokasi untuk disenarai pendek dan berpeluang ke temuduga seterusnya sebelum ditawarkan jawatan.