« Kembali

Bengkel Kumpulan Inovatif dan Kreatif Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan Pejabat Daerah dan Tanah Siri 1 Tahun 2017

Kuantan, 13 Februari – Penganjuran Sesi Bengkel Kumpulan Inovatif dan Kreatif Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan Pejabat Daerah dan Tanah telah diadakan bermula pada 13 – 15 Februari 2017 bertempat di Bukit Gambang Resort City. Sesi bengkel ini telah dibimbing oleh Encik Khairur Rizal bin Ramli, Pengarah Eksekutif Pahang Skills yang telah mula membimbing pasukan KIK daripada Pejabat SUK sejak dari tahun 2015. 

Pada sesi tersebut, seramai 130 peserta yang mewakili 14 kumpulan telah mengikuti sesi bengkel yang dipecahkan kepada 12 sesi merangkumi penerangan berkaitan garis panduan KIK baharu yang telah dilancarkan pada bulan Ogos 2016 dan juga teknik-teknik pembangunan projek yang perlu bagi memastikan projek yang dilaksanakan mampu memberi impak yang tinggi dan mampu dikomersialkan.

Pada hari terakhir sesi bengkel, setiap kumpulan telah membentangkan hasil projek yang melibatkan projek berkaitan aspek pengurusan dan teknikal. Walaupun pembentangan projek belum didapati mantap, ianya dilihat sebagai usaha daripada setiap kumpulan bagi memastikan penglibatan jabatan dalam penganjuran KIK yang bermula dengan pertandingan Mini KIK pada bulan Julai nanti dan disusuli dengan Konvensyen KIK Peringkat Negeri pada bulan September.

Majlis penutup dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YH. Dato' Toantowee bin Haji Mohd Lotfie kepada wakil kumpulan. Dalam ucapan penutup, YH. Dato' telah menekankan keperluan setiap jabatan untuk melibatkan diri dalam aspek inovatif dan kreatif sebagai sumber ekonomi baharu di samping usaha untuk memantapkan sistem operasi jabatan menerusi pembaharuan dala prosedur kerja dan penghasilan peralatan tugasan yang mampu meningkatkan produktiviti kerja.  

Unit Korporat selaku urusetia KIK di peringkat jabatan dan negeri akan mengadakan sesi semakan projek yang dijangka akan diadakan pada penghujung bulan April nanti.